Tuesday, February 23, 2010

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 2/2010

Semua Pengarah Pelajaran,
Jabatan Pelajaran Negeri,
Y.Bhg. Datuk/Dato’/Datin/Tuan/Puan,

SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 2 / 2010:
PELAKSANAAN DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 telah memansuhkan pelaksanaan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah dan digantikan dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

2. Dalam melaksanakan dasar MBMMBI, pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris diperkukuh menerusi pendekatan yang lebih berkesan. Dengan pemansuhan dasar PPSMI, sekolah kebangsaan dan sekolah menengah hendaklah menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, manakala di SJK(C) dan SJK(T) menggunakan bahasa pengantar masing-masing.

3. Pada 5 Ogos 2009, Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan supaya dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2010. Dalam proses peralihan ini, sekolah boleh menggunakan Bahasa Inggeris dan/atau bahasa pengantar masing-masing dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Ini bertujuan membantu guru dan murid menyesuaikan diri dengan perubahan dasar berkenaan.

4. Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik semasa peralihan dasar PPSMI ke MBMMBI mulai tahun 2010 adalah seperti berikut:

Tahun: Mulai 2010 
Peringkat Rendah
P&p Sains dan Matematik boleh menggunakan Bahasa Inggeris.

Peringkat Menengah
P&p Sains dan Matematik boleh menggunakan Bahasa Inggeris.


Tahun: Mulai 2011
Peringkat Rendah
  • P&p Sains dan Matematik Tahun Satu di SK menggunakan Bahasa Malaysia. 
  • P&p Sains dan Matematik Tahun Satu di SJK(C) dan SJK(T) menggunakan bahasa pengantar masing-masing.
Peringkat Menengah
P&p Sains dan Matematik boleh menggunakan Bahasa Inggeris.

Tahun: Mulai 2012 
Peringkat Rendah
  • P&p Sains dan Matematik Tahun Empat di SK menggunakan Bahasa Malaysia dan/atau Bahasa Inggeris sehingga kohort tersebut tamat Tahun 6.
  • P&p Sains dan Matematik Tahun Empat di SJK(C) dan SJK(T) menggunakan bahasa pengantar masing-masing dan/atau Bahasa Inggeris sehingga kohort tersebut tamat Tahun 6.
Peringkat Menengah
  • P&p Sains dan Matematik Tingkatan Satu dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia.
  • P&p Sains dan Matematik Tingkatan Empat boleh menggunakan Bahasa Inggeris dan/atau Bahasa Malaysia sehingga kohort tersebut tamat Tingkatan 5. 

Sila rujuk kepada Lampiran 1 dan Lampiran 2 bagi jadual peralihan dasar PPSMI ke dasar MBMMBI.

5. Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi Tingkatan Enam Rendah, Tingkatan Enam Atas dan Matrikulasi diteruskan dalam Bahasa Inggeris.

6. Penyediaan soalan-soalan peperiksaan awam bagi kelompok mata pelajaran Sains dan Matematik semasa peralihan dasar adalah seperti yang berikut:

Jenis Peperiksaan: Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR)
Penggunaan Bahasa Pengantar: Dwibahasa sehingga 2012
Jenis Peperiksaan: Penilaian Menengah Rendah (PMR)
Penggunaan Bahasa Pengantar: Dwibahasa sehingga 2013

Jenis Peperiksaan: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
Penggunaan Bahasa Pengantar: Dwibahasa sehingga 2015

7. Sila maklumkan kandungan Surat Pekeliling Ikhtisas ini kepada pegawai yang bertanggungjawab di Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, Pengetua dan Guru Besar di bawah pentadbiran Y. Bhg. Datuk/Dato’/Datin/Tuan/Puan.

Sekian. Terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

TAN SRI DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD. DOM
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

2 comments:

  1. pada ak..ak setuju sngt hazim..d skolah tempat ak praktikal..skolah luar bandar..anak peneroka dan penoreh getah..kami terpaksa ajar fully bm, walaupon dasarnya perlu dalam bi..ini kerana..student xpaham langsung bi..smoga ini dapat memajukan anak2 luar bandar utk terus minat utk beljar sains dan matematik..

    ReplyDelete
  2. ya en kayjogja...
    tengok pado pekeliling tu sepatutnya bulih ngaja dlm BM doh tp tengok pengetua jugok. sekoloh aku, pengetua masih lagi nak math n sains diajar dlm BI. pesan cikgu pembimbing," kamu belasah je".

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...