Thursday, December 13, 2012

1Bestarinet VLE-Frog

Pengenalan
1BestariNet adalah projek inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang dilaksanakan dengan kerjasama YTL Communications yang mana sebanyak 10,000 sekolah di seluruh Malaysia akan dilengkapi akses Internet berkelajuan tinggi dan platform pembelajaran maya yang mengaplikasikan jaringan Internet berkelajuan tinggi serta akses kepada penyelesaian pendidikan bersepadu bertaraf dunia. 

Dengan kata lain, sekolah yang terlibat dilengkapi akses kepada Internet mudah alih Yes 4G dengan menggunakan platform alam maya Frog (VLE-Frog). Visi 1BestariNet adalah mengubah platform pendidikan di Malaysia serta merapatkan jurang digital di antara murid kawasan bandar dan luar bandar dengan menyediakan pendidikan berteras Internet yang berkualiti kepada semua rakyat Malaysia.

Untuk memudahkan pemahaman, konsep pembelajaran yang lebih moden iaitu secara alam maya diterapkan. Guru dan pelajar serta ibu bapa berinteraksi atas talian. Guru memberi tugasan kepada pelajar dan pelajar menghantar tugasan. Selain itu, setiap maklumat dapat diakses oleh pelajar secepat dan semudah dihujung jari.

Komuniti Guru <--> Guru
Bagi para guru, setiap fail atau maklumat boleh disimpan dalam akaun masing-masing dan boleh diakses bila-bila masa selagi dapat akses ke rangkaian internet. Selain itu, pada permulaan menggunakan VLE-Frog ini, guru perlu menyediakan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran mengikut subjek yang diajar. Inilah kunci utama kejayaan pelaksanaan kaedah ini.

Guru-guru juga boleh menyediakan kalendar aktiviti sendiri, halaman untuk pembelajaran serta halaman untuk unit kokurikulum yang terlibat serta banyak lagi.

Komuniti Guru <--> Pelajar
Bahan pengajaran dan pembelajaran atau tugasan yang tersedia boleh dikongsikan kepada pelajar mengikut kesesuaian atau kelas masing-masing. Pelajar boleh membuat tugasan tersebut dan menghantar semula kepada gurunya. Pelajar juga boleh menguruskan unit kokurikulum melalui tunjuk ajar guru untuk memudahkan penyampaian maklumat kepada ahli-ahlinya.

Contohnya, Pengerusi Kadet Pertahanan Awam yang dilantik dari kalangan pelajar boleh menguruskan halaman unit tersebut supaya setiap maklumat dapat disampaikan kepada ahlinya dengan dibantu oleh guru. Dengan ini, dapat mengurangkan beban guru disamping meningkatkan kemahiran pelajar tersebut.

Limitasi
Walaubagaimanapun, masih terdapat banyak limitasi dalam melaksanakan VLE-Frog ini memandangkan ia masih baru. Contohnya, kekurangan atau ketiadaan komputer di sesetengah sekolah dan juga di rumah menyebabkan pelajar tidak dapat akses kepada internet. Begitu juga dengan kemahiran guru untuk mengendalikan VLE-Frog ini masih diperingkat 'cuba-cuba jaya' dan 'try and error'.

Penutup
Sebagai penutup, komitmen daripada semua pihak terutama pentadbir sekolah dan bengkel-bengkel yang diadakan akan banyak membantu melaksanakan VLE-Frog ini untuk mencapai objektifnya.



Rujukan:
http://1bestarinet.net/?page_id=15
http://www.frogasia.com/v2/?page_id=13

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...