Thursday, March 11, 2010

Kisah Lalu Jadi Tauladan

6 Bulan Yang Lalu
Jam menunjukkan lebih kurang pukul  11.00 pagi, hari Jumaat kira-kira seminggu lagi untuk umat Islam bergembira merayakan Eidul Fitri. Dalam hati berkata, "Sudah dua hari aku di sini."

"Dik, pakai baju ni. Nanti kejap lagi nak masuk dah."

Kata-kata tersebut membuatkan aku sedikit gementar. Baju itulah yang ditunggu sejak dari pagi. Untuk menghilangkan gementar, air liur ditelan perlahan. Tak sampai satu jam, datang seorang lelaki menolak katil yang ada roda. Entah apa nama betul katil tu. Stretcher kot. Lebih kurang pukul 12.00 tengahari sesudah aku memakai baju yang diberikan satu jam tadi, lelaki yang membawa stretcher tadi menanyakan jika aku ada memakai benda-benda lain selain baju tu. 

Lalu tanpa membuang masa, lelaki tu menyuruh aku baring di atas stretcher yang dibawanya. Aku menuruti arahannya. Dan aku ditolak ke satu bilik. Bilik yang bukan semua orang boleh masuk. Tak sampai 10 minit ditolak oleh lelaki yang menjalankan tugasnya, aku sampai ke satu bilik, sebelah bilik yang ditujui. Bilik tu dikenali sebagai bilik persediaan. Tak lama kemudian aku ditolak oleh orang lain yang tidak dikenali. Mulutnya ditutupi topeng seperti topeng mencegah wabak H1N1. Kepalanya dilitupi sejenis cap. Aku tahu itu hanyalah sebahagian prosedur yang perlu dipatuhi apabila berada dalam bilik yang ditujui.

Apabila memasuki bilik tersebut, aku memerhatikan sekeliling, ramai juga orang. Mereka kelihatan agak sama dari segi pemakaian tapi aku tahu mereka mempunyai peranan masing-masing. Tujuan mereka adalah sama, iaitu 'mengerjakan' badanku yang masih lagi gementar. Tidak ada apa-apa pun, mungkin ia adalah sesuatu yang agak tidak biasa lalu menyebabkan kita gementar. Masih teringat hari semalam ketika berbincang dengan doktor bius yang meminta persetujuan aku untuk dibius penuh kerana ada workshop. Katanya lagi workshop tu untuk memberi pendedahan kepada doktor-doktor lain tentang teknik terbaru mereka.

Permulaan
Ketika itu, aku disuruh bertukar katil dalam keadaan baring. Aku menuruti sahaja. Katil yang baru ni terasa agak suam dibahagian belakangku. Mungkin ia direka supaya orang macam aku tak rasa sejuk apabila berada dalam bilik itu yang sememangnya sejuk. Datang beberapa orang mula mengeruminiku. Apa yang mereka bagitau aku buat. Mereka mula memasang beberapa peralatan di tangan dan dada. 

"Dik, nak bius ni. Mengucap ye. Mata jangan tutup." kata salah seorang daripada mereka sambil mula meletakkan satu alat seperti mangkuk plastik yang menutupi mulut dan hidungku. 

Aku menuruti arahannya dan bernafas seperti biasa. Seketika kemudian, aku sudah tak sedar lagi. 

Beberapa jam kemudian, aku mula tersedar. Kepala sedikit pening dan rasa loya. Aku terus memegang pehaku. Ada sesuatu yang agak keras. Aku mengangkat sedikit kepala untuk tengok. Ya, aku pasti itulah brace yang telah siap dipasang. Alhamdulillah operation yang dilakukan telah selesai.

Akhirnya
Aku ditolak kembali oleh orang yang sama menolak aku ke bilik bedah tadi. Aku sempat bertanyakan pukul berapa waktu itu dan dia bagitau pukul 5.00 petang. Waktu ini, aku tidak sekuat di awal memasuki bilik bedah tadi. Terasa begitu lemahnya badan. Mungkin disebabkan bius masih belum hilang sepenuhnya. Gegaran sedikit sangat terasa. Terasa kesakitan di bahagian lutut kanan. Walaubagaimanapun, aku tetap bersyukur kepadaNya kerana penantian selama ini telah tercapai.

Inilah antara catatan ringkas ketika dibedah enam bulan yang lalu disebabkan sejenis kecederaan yang diberi nama Anterior Cruciate Ligament Tear dan pembedahan Anterior Cruciate Ligament Reconstruction

Wallahu a.lam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...