Monday, June 21, 2010

Aku Mahu Pulang

Assalamualaikum wbt...

Agak lama tidak mengupdate blog ni. Bukan kerana tidak mahu update, tapi kerana kesuntukan masa dan tidak mempunyai capaian internet. Kini sudah sebulan lebih aku menamatkan Latihan Mengajar di satu sekolah menengah di Kuala Kangsar. Beberapa perkara menarik berlaku dalam sebulan ni. Antaranya Sukan Malaysia (SUKMA), keputusan praktikal, sepak mula piala dunia, cuti sekolah, orang kahwin dan sebagainya.

Latihan Mengajar yang banyak mengajar aku tindak balas dalam satu komuniti kini semakin dilupakan. Namun, pengajaran-pengajaran yang terdapat di dalamnya insyaAllah tidak dilupakan. Tanpa membuang masa selepas tamat praktikal, aku memulakan langkah baru iaitu mencari pekerjaan. Dan alhamdulillah dengan tidak perlu bersusah payah dah dapat kerja sebagai security guard dengan sebuah syarikat. Kerja ini tidaklah sama seperti yang biasa kerana hanya menjaga beberapa barang sahaja. Namun berisiko jika berlaku sesuatu kepada barang yang dijaga.

Dengan kerja ini juga aku berpeluang untuk melancong ke seluruh negara. Namun dalam sebulan ni hanya sempat pergi Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka sahaja. Alhamdulillah... Satu yang aku perasan semasa kerja begini adalah dipandang rendah oleh masyarakat. Mungkin kerana profesion ini hanya untuk orang-orang yang tidak belajar tinggi dan orang-orang tua yang baru pencen saja. Tapi jika dilihat dari sudut positif, banyak perkara boleh belajar seperti perangai manusia yang pelbagai. Secara kesimpulannya, manusia itu memang memerlukan penghormatan tidak kira sama ada orang itu seorang menteri atau hanya seorang pencuci di kaki lima. Sebab itulah Islam menganjurkan "apabila kamu diberi penghormatan, maka balaslah perhormatan dengan lebih tinggi atau setarafnya...". Betapa indahnya Islam.

Sekarang ni aku masih di Melaka kerana baru habis tugasan di salah satu venue Sukma iaitu di Ayer Keroh. Acara yang terlibat adalah angkat berat. Sebelum ni aku tidak tahu pun macam mana acara ini dipertandingkan tetapi hari demi hari dah tahu serba sedikit. Sebenarnya tugas aku bukanlah menjaga tempat tersebut tetapi hanya menjaga peralatan RTM yang ada di situ. Alhamdulillah sepanjang 11 hari tiada apa2 yang tidak elok berlaku. 

Apa yang aku perhatikan adalah tentang sikap atlit2 kita. Ada sesetengahnya membuatkan aku tidak berapa puas hati. Aku bukanlah seorang pemerhati tetapi hanya seorang rakyat Malaysia yang memerhatikan tindak tanduk manusia. Pada hematku, atlit kita masih lagi rendah tahap keprofesionalnya. Mungkin boleh diperbaiki lagi pada masa akan datang. Dan aku seorang bakal guru insyaAllah akan bersama-sama membantu ke arah itu. Tiada guna hanya pandai mengomen tapi tidak mempunyai penyelesaian. Bercakap sangat senang namun melaksanakan menuntut pengorbanan.

Ketika menulis artikel ringkas ini, aku berada di rumah pakcik di Kem Terendak. Banyak yang dapat diperhatikan dalam kem ini yang mana kebanyakan orang luar tidak nampak. Sebuah kehidupan yang tersembunyi. Disembunyikan oleh satu perkataan iaitu tentera. Tinggal tak sampai satu jam lagi untuk aku naik bas untuk ke Kuala Lumpur. Jadi terpaksa aku berhenti menulis di sini walaupun masih banyak lagi yang ingin ditulis sepanjang perjalanan lebih kurang satu bulan ini. Aku mahu pulang...

Terima kasih kerana sudi membaca.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...