Friday, October 15, 2010

Penulisan Blog

Bismillahirrahmanirrahim...
Sudah lama penulis tidak menulis menggunakan idea sendiri. Bukan tidak mahu menulis tapi menulis menggunakan idea sendiri memerlukan masa yang agak banyak supaya isi yang ingin disampaikan dapat memberi manfaat bersama; penulis dan pembaca. 

Konvokesyen
Tarikh 16hb Oktober 2010 jatuh pada hari Sabtu. Ianya seperti hari2 biasa kecuali ada satu peristiwa yang mungkin menjadi kenangan pada masa akan datang. Penulis akan diijazahkan dengan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang mana suatu ketika dulu tidak pernah mengimpikan untuk mendapatkan ijazah ini. AlhamduliLlah. Dengan kata lain, mempunyai kelayakan untuk menjadi seorang pendidik di Malaysia.


Walaubagaimanapun, setelah sedikit bacaan dan pemerhatian dibuat, masih banyak lagi perlu dinaiktarafkan terutama dari segi pemikiran. Pernah seorang kawan alam maya memberitahu, menjadi seorang guru bukan sekadar masuk kelas dan mengajar. Setelah selesai latihan mengajar dulu (Januari-Mei 2010) memang benar apa yang dikatakan itu. 

Menjadi guru bukan sekadar guru malah lebih dari itu. Pada hemat penulis, pendidik lebih sesuai digunakan. Dalam bahasa Arab disebut "murabbi". Walaupun tidak disebut di sekolah, sekurang2 tanamkan dalam diri sendiri bahawa setiap kita adalah pendidik. Paling tidak menjadi pendidik kepada diri sendiri. Ia juga adalah gabungan beberapa elemen kemahiran yang perlu dijanakan serentak. Kelas bising, pelajar tidak mahu belajar, sabar, tekanan pihak atasan, tanggungjawab di rumah, et al semuanya memerlukan kemahiran untuk menguruskannya.

Membudayakan Penyelidikan
Dalam konteks dunia tanpa sempadan, banyak harapan digalaskan di bahu pendidik untuk menjayakan misi visi sekolah dan juga wawasan 2020. Manakala penyelidikan merupakan elemen penting dalam pembangunan sesebuah organisasi. Lalu, mana mungkin organisasi pendidikan boleh mencapai taraf yang diinginkan jika pendidik sendiri kurang berminat untuk melakukan penyelidikan.

Oleh yang demikian, selain memiliki kelayakan profesional yang asas, seseorang pendidik seharusnya terus memupuk minat dan membina pengetahuan serta kemahiran terkini dalam bidang penyelidikan. Usaha ini dapat dilaksanakan sama ada melalui penyelidikan yang diusahakan sendiri atau secara kolaborasi bagi mewujudkan ‘a learning society’ dalam profesion pendidikan seperti yang ditegaskan oleh Stenhouse (1975):
"It is difficult to see how teaching can be improved or how curricular proposals can be evaluated without self-monitoring on the part of teachers. A research tradition which is accessible to teacher and which feeds teaching must be created if education is to be significantly improved"
Begitu juga semasa penulis masih seorang penuntut ilmu di universiti, budaya penyelidikan tidak diterapkan sepenuhnya. Yang ada hanyalah sebagai memenuhi keperluan kursus yang ditawarkan. Lalu keluarlah graduan-graduan yang tidak mampu untuk melakukan penyelidikan demi memertabatkan bidang pendidikan. Namun, di sini penulis sekali-kali tidak menyalahkan sesiapa kerana tiada guna kita banyak mengkritik tapi tiada usaha untuk membantu dilakukan. 

Penulis juga amat berbangga dengan hasil kajian yang telah dilakukan oleh pengkaji di universiti-universiti tempatan. Tetapi masih kurang yang diketengahkan kepada masyarakat supaya dapat dimanfaatkan bersama. Terimalah hakikat bahawa masih ramai lagi rakyat Malaysia yang belum menguasai kemahiran membaca bahan ilmiah dengan baik. Lalu apa yang ingin dibanggakan dengan memperbanyakkan tulisan-tulisan ilmiah dalam bahasa Inggeris sehingga ramai daripada 'orang-orang biasa' tidak mendapat manfaat sepenuhnya. Mereka yang hebat ini menunggu acara-acara tertentu untuk memperkenalkan hasil kajian.

Para professor dan saintis di Malaysia selalunya hanya menunggu acara-acara rasmi anjuran kerajaan ataupun antarabangsa untuk mengetengahkan penemuan atau ciptaan mereka. Dunia bergerak pantas dan trend beginilah sebenarnya yang membuatkan banyak hasil saintis Malaysia tidak dapat dikomersialkan oleh pelabur-pelabur berpotensi dari luar (Mohd Ismail, 2007).

Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, marilah sama-sama kita merenung dan merefleksi diri dan masyarakat di manakah kita berada. Jangan kerana hilangnya sikap bantu membantu suatu hari nanti negara ini jatuh ke tangan orang lain. "Orang yang bijak sudah pasti tidak jatuh ke lubang yang sama dua kali. InsyaALlah. Kepada ALlah segala sesuatu dikembalikan.


*Penulisan ini adalah salah satu usaha penulis untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari sebelum ini. Banyak yang masih perlu diperbaiki.

--------

Mohd Ismail (2007). Blog dan Perkembangan Sains Dunia. Retrieved on October 15, 2010 from http://www.mohdismail.net/
Nair, P., et al (2003) Membudayakan Penyelidikan di Kalangan Pendidik Guru: Satu Kajian Keperluan Pensyarah Baru. IPBA, 3(1), 70-86.
Stenhouse, L. (1975). An Introduction to Curriculum Research and Development. London: Heinemens.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...