Monday, November 8, 2010

Berakhir Sebuah Permulaan

Bismillahirrahmanirrahim...

Bermula awal Julai lepas sehingga awal November penulis berkelana di Tg Malim sebagai seorang pembantu penyelidik. Tiadalah pekerjaan ni sehebat pekerjaan lain namun pengalaman itu lebih bernilai. Kadangkala kita belajar hanya melalui pengalaman. Teori2 dalam buku tidak dapat diaplikasikan sebaiknya jika tidak dilanjutkan dengan perbuatan. 

Buktinya penulis sendiri mengalami situasi seperti ini. Tahun lepas semasa menjalankan projek tahun akhir (tesis) penulis tidak begitu memahami dengan baik kaedah-kaedah untuk menjalankan kajian. Boleh jadi kerana kurang pembacaan atau kurang faham subjek. Selepas beberapa ketika bekerja, alhamdulillah banyak yang dapat diketahui tanpa perlu ke kelas. Sesungguhnya sangat luas ilmu kajian itu.

Sesiapa yang pernah menjalankan kajian pasti akan tahu satu perkara ini. Apabila membawakan hasil kajian kepada penyelia antara perkara pertama yang akan dilihat adalah sumber rujukan. Sesiapa yang hanya main 'copy paste' sahaja kebanyakannya pasti akan tergagap-gagap untuk menjawab apabila ditanya tentang sumber tersebut. Sudah pasti tiada markah untuk penulisan tersebut.

Penulis cuba untuk mengaitkan kaedah mencari sumber rujukan ini dengan agama kita. Walaupun penulis bukanlah dari bidang agama namun tiada salah berkongsi ilmu sebatas pengetahuan. Jika dirasakan kurang tepat, langkah yang terbaik tegurlah untuk membetulkan kesilapan. Usahlah kita jadi jaguh yang hebat berkokok untuk mengkritik orang tetapi perkara yang mampu dilakukan belumpun dilakukan.

Kata Imam Malik bin Anas (wafat 179H/796M):

إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون

Ertinya : "Sesungguhnya pengambilan ilmu ini adalah agama, maka telitilah dari mana kamu ambilinya (ilmu) agamamu" (Siyar A'lam An-Nubala, 5/343)

Jika dalam menjalankan kajian zaman sekarang, kita amat menitikberatkan sumber rujukan, maka begitu jugalah dalam hal agama. Dan sepatutnya ilmu agama itulah paling atas sekali. Untuk berubah bukan boleh berubah dalam sekelip mata, mungkin mengambil masa yang lama. Namun perkara tersebut tidak pula mustahil. Asalkan ada kesungguhan, segalanya pasti boleh selagi mana dalam kadar yang ditetapkan. InsyaAllah.

Kita boleh meluangkan waktu yang lama untuk tengok bola, baca surat khabar, bersembang di internet et al., maka luangkanlah juga sedikit masa untuk agama Islam.

Sedikit tersasar daripada tajuk artikel. Berakhirnya sebuah permulaan yang sementara. InsyaAllah dalam sebulan lagi akan bermula sebuah permulaan baru (bagi mereka yang mengetahui). Buat masa ini  penulis masih lagi menunggu keputusan penempatan. InsyaAllah ada rezeki dalam minggu ini. Tahniah kepada beberapa orang kuat yang telah tahu keputusan penempatan; kesemuanya di Sarawak. Gunakan kehebatan anda untuk mendidik anak bangsa.


*Penulis masih lagi cuba untuk meningkatkan kemahiran menulis yang semakin pudar. Saran kritik amat dialu-alukan. Terima kasih.

--------

Hafiz Firdaus (2003). Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam. Johor Bahru: Jahabersa. Retrieved November 8, 2010 from http://hafizfirdaus.com/ebook/PedomanMazhab/Chap2.php

Zaharuddin Abd Rahman (2008). Koleksi Ceramah dan Disiplin Menadah Ilmu Dari Ceramah. Retrieved November 8, 2010 from http://zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=747&Itemid=72

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...