Wednesday, May 30, 2012

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

Konsep PBS
PBS merupakan pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi & rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). PBS mentaksir bidang akademik dan bukan akademik.

Bidang Akademik
Terdapat dua komponen pentaksiran dalam bidang ini iaitu Pentaksiran Pusat (PP) dan Pentaksiran Sekolah (PS). PP dirancang, dibina & dilapor oleh Lembaga Peperiksaan tetapi ditadbir, diperiksa dan direkod oleh sekolah. PS pula dirancang, dibina, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru di sekolah yang melibatkan murid, ibu bapa dan organisasi luar. PS dilaksana dalam bentuk pentaksiran formatif dan sumatif.

Bidang Bukan Akademik
Terdapat dua komponen pentaksiran dalam bidang ini iaitu Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi). PAJSK dijalankan untuk mendapatkan maklumat tentang kapasiti dan potensi jasmani, sukan, kokurikulum yang dikawal dan kokurikulum. PPsi dilaksanakan di sekolah dan/atau pusat untuk mengukur kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid.

Ciri PBS
  1. Holistik
  2. Sepadu
  3. Seimbang
  4. Fleksibel
  5. Merujuk Standard
  6. Sebahagian daripada proses P & P
Kaedah Perlaksanaan PBS
Standard Prestasi (SP) - merupakan suatu pernyataan yang menerangkan tentang pencapaian atau penguasaan seseorang individu dalam sesuatu bidang yang telah dilalui dalam satu tempoh pembelajaran berdasarkan satu penanda aras (benchmark) yang telah dikenal pasti.

SP memandu pentaksir bagaimana aktiviti pentaksiran boleh dan dapat dilaksanakan secara adil dan berfokus merujuk kepada standard yang ditetapkan.

Kerangka Standard Prestasi
Band 1 - Tahu
Band 2 - Tahu dan Faham
Band 3 - Tahu, Faham dan Boleh Buat
Band 4 - Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab
Band 5 - Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Terpuji
Band 6 - Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Mithali

Kerangka Dokumen Standard Prestasi
  • Band - 1 hingga 6
  • Pernyataan Standard - Penerangan generik / umum tentang tahap kemajuan pembelajaran (Merujuk Objektif Mata Pelajaran) 
  • Deskriptor - APA murid tahu dan boleh buat (Merujuk Standard Kurikulum Tahun-tahun tertentu bagi Mata Pelajaran)
  • Evidens - BAGAIMANA murid menunjukkan apa yang dia tahu dan boleh buat
Pelaksanaan PBS
  • UPSR 60:40 mulai 2016
  • PMR 100% mulai 2014
Sistem Pengurusan PBS (SPPBS)
Dibangunkan dengan persekitaran web-based oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk komponen akademik dan bukan akademik. SPPBS digunakan untuk merekod dan menyimpan maklumat penguasaan murid dalam PBS serta menjana pelaporan apabila diperlukan. 


p/s: akan diupdate jika ada perubahan

Rujukan:

Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia. Transformasi Pentaksiran. Tanpa tarikh. 30 Mei 2012 <http://www.moe.gov.my/lp/files/penerbitan/pbs/TransformasiPentaksiran.pdf>

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...