Pengenalan
1BestariNet adalah projek inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang dilaksanakan dengan kerjasama YTL Communications yang mana sebanyak 10,000 sekolah di seluruh Malaysia akan dilengkapi akses Internet berkelajuan tinggi dan platform pembelajaran maya yang mengaplikasikan jaringan Internet berkelajuan tinggi serta akses kepada penyelesaian pendidikan bersepadu bertaraf dunia.
Dengan kata lain, sekolah yang terlibat dilengkapi akses kepada Internet mudah alih Yes 4G dengan menggunakan platform alam maya Frog (VLE-Frog). Visi 1BestariNet adalah mengubah platform pendidikan di Malaysia serta merapatkan jurang digital di antara murid kawasan bandar dan luar bandar dengan menyediakan pendidikan berteras Internet yang berkualiti kepada semua rakyat Malaysia.
Untuk memudahkan pemahaman, konsep pembelajaran yang lebih moden iaitu secara alam maya diterapkan. Guru dan pelajar serta ibu bapa berinteraksi atas talian. Guru memberi tugasan kepada pelajar dan pelajar menghantar tugasan. Selain itu, setiap maklumat dapat diakses oleh pelajar secepat dan semudah dihujung jari.
