Wednesday, May 19, 2010

Berakhirnya Sebuah Permulaan

Kira-kira empat tahun lalu, setelah mendapat tawaran menyambung pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) aku menyediakan apa-apa yang patut. Waktu tu masih belum jelas lagi perjalanan hidup.  Nak isi borang pun tengok orang punya. Masih ingat lagi, sewaktu mengisi borang UPSI adalah pilihan terakhir setelah aku sendiri tidak pasti untuk memilih IPT mana bagi pilihan kelapan.

Sebelum tu, aku pun tidak berapa pasti UPSI sebenarnya sebuah institusi untuk melahirkan bakal guru yang berkualiti untuk mendidik anak bangsa. Alhamdulillah sekarang sudah semakin jelas dan terancang. 

Lebih kurang 2-3 minggu sebelum tu, aku terlibat dalam satu kemalangan kereta yang hampir meragut nyawa. Kawan yang memandu kereta pula patah pahanya. Manakala kawan seorang lagi tercampak keluar dan menerima beberapa jahitan di kepalanya. Manakala aku pula cedera di beberapa anggota badan. Kereta yang dipandu memang total lost. Tu la bawak laju-laju lagi. Tapi alhamdulillah semuanya selamat.

Berbalik kepada cerita nak masuk UPSI, segalanya dirancang dengan rapi termasuk perjalanan ke UPSI. Aku menghubungi seorang pakcik di Kuala Kangsar menyatakan untuk bermalam di rumahnya sehari sebelum bertolak ke UPSI. Aku bersama keluarga dan seorang saudara juga dapat belajar kat UPSI mula bertolak ke Kuala Kangsar. Sebenarnya aku tidak tahu yang Tg Malim bersebelahan dengan Hulu Selangor. 

Ketika pertama kali tiba di Kuala Kangsar, aku lihat keadaannya sederhana. Tidak sibuk dan tidak juga sunyi. Waktu tu, tak banyak tempat yang sempat dilawati. Sekadar kawansan perumahan pakcik aku je. Tak banyak kedai dan boleh dikatakan tenang. Selepas itu, bermulalah kisah aku sebagai seorang pelajar universiti. Suka dan duka, bahagia dan kecewa, tenang dan tekanan, ceria dan sedih, kawan dan lawan, motivasi dan iri hati, erti senang dan susah dan pelbagai lagi.

Setelah tiga tahun setengah menuntut dalam dewan kuliah dan sekitar kawasan UPSI mempelajari teori-teori pendidikan, psikologi, pedagogi dan sebagainya, maka diakhiri dengan Latihan Mengajar (LM). Tempat yang dipilih adalah Kuala Kangsar memandangkan lebih dekat dengan Kelantan. Semasa memilih Kuala Kangsar sebagai tempat menjalani LM, tidak terlintas pun di fikiran yang suatu ketika dulu aku pernah datang Kuala Kangsar.

Sepanjang menjalani LM, memang sangat banyak pengetahuan diperoleh terutama berkaitan pendidikan zaman sekarang. Aku tidak pernah bersekolah di sekolah menengah biasa, jadi tidak pasti macam mana senario dalam sekolah. Namun, dengan bantuan guru-guru di sekolah tersebut aku dapat juga mengharungi 'ranjau dan duri'. Inilah serba ringkas catatan selama empat tahun belajar. Mungkin akan ada versi panjangnya nanti. InsyaAllah.

Sehingga entri ni ditulis, aku masih teringatkan Kuala Kangsar. Terasa belum puas lagi menggeledah kawasan sekitarnya. Guru-guru di kuartes dan sekolah, pelajar-pelajar, penduduk sekitar dan orang awamnya. Semuanya memiliki pelbagai pemikiran dan tindakan. Semoga suatu hari nanti, insyaAllah jika berkesempatan aku akan menjejakkan kaki lagi ke Kuala Kangsar. Tempat aku mengenali lebih ramai ragam manusia.  Tempat permulaan dan pengakhiran yang sementara. Alhamdulillah. 

Penghargaan
Ketua Jabatan Biologi (Dr Hasimah Alimon), Pensyarah Penyelia (Dr Norhayati bt Daud) dan Mentor (Dr Ong Eng Tek) serta pensyarah-pensyarah lain yang memberi bimbingan dan tunjuk ajar samada secara langsung atau tidak langsung.

Pengetua (Datin Hajah Roiga bt Taib), Guru-guru Penolong Kanan, Guru Pembimbing (Pn Hjh Nuraliza bt Ariffin), Guru Pembimbing 2 (Cik Nurul Aini bt Khairul Azhari) dan Tuan Syed Hashim serta guru-guru, staf sokongan dan pembantu makmal yang banyak membantu, memberi nasihat dan teguran sepanjang saya menjalani Latihan Mengajar di SMK Raja Muda Musa, Kuala Kangsar. Pelajar-pelajar terutama kelas 2 Damai dan 4 Bahagia 2010.

Rakan-rakan seperjuangan, En. Tuan Mohd Hafizul dan lain-lain yang banyak membantu.

Jika ada ucapan yang lebih tinggi dari ucapan TERIMA KASIH, itulah yang ingin diucapkan kepada semua.

"Tahu Menghormati Satu Sama Lain"

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...